Apakah Macau Scam

Kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai macam taktik jenayah akan datang walaupun ia tidak sama sekali diundang.

Namun, sejak kebelakangan ini, kita sering terdengar taktik penjenayah yang menggunakan panggilan telefon untuk menipu mangsa.

Tidak dinafikan mangsa akan bulat-bulat ditipu dan ianya merupakan sejumlah angka yang besar dan tidak masuk akal.

Tapi dengan taktik si penjenayah ini yang memancing beberapa individu dengan menawarkan hadiah berupa cabutan bertuah, pakej pelancongan dan penyamaran sebagai pegawai polis atau pihak bank.

Kepada individu yang yang pernah mengalami kejadian sebegini, bolehlah rujuk di balai polis berdekatan untuk mendapatkan kesahihan dan kebenarannya. Ini penting bagi mengelakkan anda ‘berputih mata’ apabila wang anda hangus begitu sahaja.

Apa itu Macau Scam?



Sindiket didalangi oleh rakyat Taiwan dan mereka menghubungi mangsa melalui talian antarabangsa dari Hong Kong dan tempatan. Sindiket ini akan menggunakan akaun bank milik rakyat tempatan untuk mengutip wang dari mangsa. Kemudiannya, wang yang diperolehi tersebut akan dikeluarkan secara tunai sebelum dihantar ke luar negara melalui khidmat ‘money changer’ dan seumpamanya.

Modus Operandi 1 (tipu pinjaman bank)

Suspek memperdayakan mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank. Suspek akan menghubungi mangsa dan menyatakan bahawa nama mangsa atau butiran akaun miliknya telah digunakan untuk membuat pinjaman bank di mana mangsa dikehendaki membayar semula pinjaman yang dibuat.

Bila mangsa cuba menafikan perkara itu, suspek akan memainkan peranan dengan mengarahkan mangsa untuk menghubungi Bank Negara atau memintanya menghubungi nombor yang diberikan. Kemudian, suspek yang lain akan menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri sebagai pegawai Bank Negara.

Suspek ini akan mengatakan bahawa akaun mangsa digunakan untuk kegiatan jenayah dan perlu disiasat.

Mangsa kemudian telah dihubungi daripada suspek ketiga yang menyamar sebagai pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Mangsa akan bercakap dengan individu yang menyamar sebagai pegawai polis yang kononnya menguatkan dakwaan bahawa akaun mangsa digunakan dalam kegiatan jenayah.

Suspek kemudian meyakinkan mangsa untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan bagi mengelakkan akaun tersebut dibekukan atau dirampas.

Modus Operandi 2 (Tipu Kad Kredit)

Suspek akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank menyatakan bahawa nama dan butiran akaun mangsa telah digunakan untuk membuat kad kredit yang didaftarakan atas nama mangsa.

Mangsa yang menafikan perkara itu telah dimaklumkan suspek cara untuk atasi perkara itu dengan menyambungkan talian ke Bank Negara.

Mangsa kemudian dihubungi suspek kedua yang berperanan sebagai pegawai Bank Negara dan telah mengarahkan amngsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan bagi tujuan keselamatan.

Suspek juga berjanji akan memulangkan wang dalam tempoh tujuh hari selepas siasatan selesai dijalankan sebelum terus menghilangkan diri.

Modus Operandi 3 (Tipu Culik Untuk Minta Wang Tebusan)

Dalam situasi ini kebanyak mangsa berusia lingkungan umur 50-an ke atas di mana suspek memperdayakan mangsa dengan menghubungi dan memberitahu bahawa anak atau ahli keluarga mangsa telah diculik.

Suspek memberitahu akan mencederakan ahli keluarga sekiranya tidak membayar wang tebusan dan usah melaporkan kepada polis. Bimbang dengan perkara itu, mangsa telah menyerahkan wang tebusan melalui satu akaun atau meletakkan wang berkenaan di tempat sunyi sebelum diambil suspek.

Setelah wang diserahkan, mangsa gagal dihubungi.

Modus Operandi 4 (Tipu Menyamar Polis Bebaskan Tahanan)

Bagi taktik ini, suspek akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai polis dan memaklumkan ahli keluarga mangsa telah ditahan polis berkaitan kes dadah dan sebagainya.

Jika mahu selesaikan perkara itu, mangsa diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan sebagai jaminan pembebasan.

Bagaimanapun, setelah wang dimasukkan, susupek gagal dihubungi.

Modus Operandi 5 (Tipu Cabutan Bertuah/Peraduan/Percutian)

Dalam kes ini, suspek akan mempengaruhi mangsa dengan memberitahunya telah memenangi hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai dari Hong Kong.

Mangsa yang teruja akan diarahkan untuk membayar cukai atau yuran untuk menuntut hadiah berkenaan dengan memintanya membayar sejumlah wang melalui akaun. Namun, setelah wang dimasukkan, suspek gagal gagal menghubungi mangsa.

Dalam kes yang lain, suspek akan memberikan SMS kepada mangsa untuk menyertai pelaburan Toto Hong Kong melalui aplikasi Wechat yang menawarkan keuntungan berbentuk tanah atau wang tunai. Bagi menarik perhatian mangsa, suspek akan menggunakan gambar profil seorang wanita cantik.

Mangsa yang terpikat dengan helah itu akan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan sebelum menyedari dirinya ditipu.

Modus Operandi 6 (Hadiah Pakej Pelancongan Tidak Wujud)

Mangsa akan dihubungi dengan memberitahunya telah memenangi hadiah pakej pelancongan. Bagi menebus pakej itu, suspek mengarahkan mangsa membayar wang pemprosesan dengan sejumlah amaun yang ditetapkan.

Setelah wang dimasukkan, suspek terus gagal untuk dihubungi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Sakri Arifin berkata, jika ada sesiapa yang menghubungi melalui telefon berkenaan transaksi bank atau penggunaan kad kredit, sila hubungi bank secara terus sendiri atau kunjungi bank yang berdekatan untuk kepastian.

Menurutnya, usah sesekali hubungi semula nombor telefon yang diberikan kononnya untuk pengesahan bank atau polis.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak terburu-buru tanpa soal periksa dan usah mudah terpedaya dengan janji yang diberikan.

“Bagi kes menyamar sebagai anggota polis dengan meminta wang, orang ramai diminta untuk berkunjung ke balai polis berhampiran untuk pengesahan dan jangan sesekali bersetuju walaupun untuk kepentingan ahli keluarga terdekat.

“Kategori mangsa bagi kes penyamaran polis ini lingkungan 50 hingga 70 tahun di mana mereka lebih risaukan kepentingan keluarga dan anak-anak yang menyebabkan mereka mudah terpedaya untuk melakukan transaksi bank,” katanya.

Tambahnya, bagi kes pelaburan pula, usah mudah terpengaruh dengan rupa paras cantik dan siasat perkara itu dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.

Selain itu, jika ada terima mesej atau panggilan telefon berkaitan penyalahgunaan nama bagi kad kredit atau pinjaman wang usah layan.

“Orang ramai yang menerima panggilan sebegini perlulah semak dahulu dengan pihak bank untuk kepastian,” katanya.

Dalam pada itu, Sakri turut menegaskan agar orang ramai mahupun pengguna laman sosial agar tidak terlalu menonjol dengan mendedahkan butiran peribadi bagi mengelakkan ia disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

STATISTIK KES MACAU SCAM DI SELANGOR

TAHUN 2016 2017 (JAN-MAC)

JUMLAH KES 237 89

JUMLAH KERUGIAN (RM) 17,828,279.95 2,917,027

No comments:

Post a Comment