petanda anda bakal disambar petir!








Cas elektron yang wujud dalam atmosfera sebelum ledakan berlaku boleh mengangkat rambut seseorang ke udara

Gambar ini diambil hanya beberapa minit sebelum mereka disambar petir. Keduanya tersenyum kerana berasa lucu melihat rambut mereka tercacak ke atas. Akan tetapi, mereka berdua tidak tahu itu sebenarnya amaran terakhir sebelum menjadi sasaran panahan petir!

Pada 20 Ogos 1975, Micheal McQuilken, 18, (kanan) dan adiknya Sean, 12, telah melakukan pendakian ke puncak Moro Rock di Sequoia National Park, California. Turut serta dalam ekspedisi keluarga itu ialah kakak Sean, Mary, 15 tahun.

Sebaik tiba dipuncak Moro Rock, awan berubah menjadi gelap. Ia petanda hari hendak hujan. Bagaimanapun, keluarga ini mendapati ada sesuatu yang lucu berlaku iaitu rambut mereka tiba-tiba terangkat ke atas. Tercacak seperti terkena renjatan elektrik. Perkara itu benar-benar menggelikan hati sehingga mereka tidak berhenti daripada ketawa.

McQuilken cuba mengambil gambar Mary dengan gaya rambut menggerbang ke atas. Kemudian, dia meminta pula adiknya itu menangkap gambar dia bersama Sean. Momen lucu dan keceriaan mereka begitu terserlah pada gambar-gambar tersebut.

Apabila hal begini terjadi, ia sebenarnya amaran terakhir kepada individu terbabit supaya menjauhi kawasan tersebut. Dengan kata lain, ia petanda supaya seseorang perlu mencari tempat perlindungan dengan segera.


Misteri alam

Petir merupakan fenomena alam yang biasanya muncul beberapa saat dilangit dalam keadaan bercahaya ketika hujan. Selalu terjadi dimana cahaya kilat yang menyilaukan akan diikuti dengan bunyi ledakan, disebut guruh.

Kejadiannya masih lagi menjadi misteri sehingga ke hari ini. Adapun yang diketahui, petir berlaku melalui proses elektrifikasi di awan. Elektrik statik terbentuk kerana adanya geseran antara udara panas dengan awan yang membawa partikel-partikel air dari laut dan kawasan industri.

Kilat boleh memanaskan udara kepada hampir 28,000 darjah selsius. Cukup bertenaga untuk memecahkan molekul di udara, inikan pula sekadar nyawa manusia!

McQuilken, Sean dan Mary sangat naif - langsung tidak menyedari bahawa mereka berada dalam keadaan bahaya yang mungkin boleh membawa maut ketika itu. Sehinggalah hujan batu turun diikuti dentuman guruh yang kuat, Sean serta-merta tersungkur diatas tanah.

Sejurus ledakan, McQuilken mendapati Sean telah mengalami kecederaan parah akibat dipanah petir dan membunuh pejalan kaki lain yang berdekatan. Belakang badannya berasap, rambut terbakar dan pakaiannya hancur.

Sean kemudiannya dikejarkan ke hospital. Daripada hasil pemeriksaan klinikal, Sean disahkan melecur tahap ketiga dimana dia mengalami kerosakan penuh pada bahagian kulit, terutama dibelakang badan dan siku.

Sean koma selama enam bulan sebelum pulih sepenuhnya. Dia bernasib baik kerana panahan maut itu tidak meragut nyawanya.


Bahaya petir

Walaupun orang yang disambar petir boleh selamat, kebanyakan saraf akan mengalami kecederaan kekal. Malah boleh menjadi pencetus kepada serangan jantung, pekak dan buta sementara.


No comments:

Post a Comment