Anda baca juga.
Saya kata, cuba jangan baca artikel ini.
Baca juga.
Kenapa?
Kerana anda hanya cuba-cuba sahaja. Tidak buat betul-betul.
Mari kita renung-renungkan sejenak. Berapa banyakkah perkara, selama kita hidup ini yang kita cuba buat dan yang kita buat?
Teringat semasa sekolah, seorang guru saya berkata, “Cuba padam papan hitam itu.”
Kemudian salah seorang rakan sekelas saya menjawab, “Kalau tidak boleh, bagaimana?”
Seluruh kelas ketawa dan guru itu yang memang pemalu tersenyum tersiput-siput. Siput pun tidak senyum sebegitu.
Sebut dan bezakan kekuatan dua ayat ini:
1) Saya akan cuba buat yang terbaik!
2) Saya buat yang terbaik!
Ayat yang manakah rasanya lebih kukuh?
Di dalam latihan yang saya kendalikan, sebaik sahaja saya terdengar perkataan ‘cuba’ disebutkan oleh peserta, saya akan melakukan demonstrasi ‘cuba’.
Saya kata, “Cuba bangun.”
Mereka bangun.
Saya kata lagi, “Saya kata, cuba bangun. Bukan bangun.”
Ada yang bangun, ada yang lambat-lambat bangun, ada yang memandang rakan-rakan lain bangun atau tidak.
Saya kata lagi, “Semua sekali, cuba bangun.”
Mereka bangun.
“Saya kata cuba bangun, bukan bangun.”
Mereka mula berkerut-kerut, cip cap cip cap dan memandang ke arah satu sama lain.
“Cuba bangun. Bukan bangun, cuba sahaja.”
Mereka pun mengangkat punggung separuh dan pura-pura mahu bangun tetapi terduduk kembali.
“Ok, sekarang semua bangun.”
Mereka pun bangun. Dan saya minta mereka duduk kembali.
“Kenapa anda dapat berdiri? Kerana anda bangun. Bila anda bangun, anda dapat berdiri. Tetapi semasa anda cuba bangun, anda tidak dapat berdiri. Kerana anda hanya cuba-cuba sahaja. Sekiranya anda memilih untuk terus mencuba, sampai bila pun anda tidak akan dapat hasilnya. Kerana anda hanya cuba-cuba, anda tidak buat betul-betul.”
Oleh itu jugalah, anda sedang membaca artikel ini walaupun saya kata cuba jangan baca.
Kerana anda bukan mencuba membaca, tetapi anda membaca.
Mentor saya berkata, “You are doing it! There is no such thing as ‘cuba’. No try, do!“
NO TRY, DO!
No comments:
Post a Comment