TPPA akan burukkan ekonomi negara, kata Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sekiranya diteruskan bakal memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, terutama daripada segi eksport dan import negara yang boleh menyebabkan negara mengalami defisit lebih teruk.


Malaysia mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, malah agensi penilaian global Fitch Ratings baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif kerana hutang kerajaan meningkat kepada 53.3 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) penghujung 2012 daripada 51.6 peratus pada hujung 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008.

"Sekiranya perjanjian TPPA ini diteruskan, kita lihat eksport akan berkurang dan import meningkat. Ini tidak baik untuk ekonomi negara.

"Bila berlaku ini, negara akan alami defisit. Ia suatu yang merugikan," kata bekas Perdana Menteri dalam sidang media pada persidangan meja bulat TPPA di INTAN, pagi ini.

Menurutnya, keupayaan Malaysia masih jauh lagi ketinggalan berbanding dengan Amerika Syarikat yang mempunyai kelebihan daripada segi teknologi dan kepakaran.

"Malaysia tidak mempunyai banyak barangan untuk eksport.

"Amerika Syarikat ada banyak lagi barangan, kita belum jadi negara maju," tegas Dr Mahathir lagi semasa memberi ucap tamanya.

Dr Mahathir juga berkata perjanjian tersebut hanya merugikan kerana tidak mempunyai kuasa untuk mengawal sebaliknya akan terikat dengan kekangan yang sudah ditetapkan oleh pelobi.

"Malaysia akan dikuasai oleh mahkamah yang bukan di Malaysia.

"Malah, kita tidak ada kebenaran untuk membuat rayuan, tidak banyak kelebihan didapati dengan menandatangani perjanjian TPPA ini," katanya. 

Beliau turut memberi amaran supaya tidak terjebak dengan krisis ekonomi yang melanda di Amerika Syarikat hasil kesan ketidakseimbangan pendapatan, mendakwa negara kuasa dunia tersebut cuba menguasai kekayaan sesebuah negara.

"AS (Amerika Syarikat) menjadi negara miskin sebab sebab hutang melebihi pendapatan.

"Kalau mereka dapat kuasai sumber negara-negara yang baru merdeka ini, mereka dapatlah kekayaan yang amat banyak," ujarnya lagi.

Dr Mahathir juga meluahkan rasa kebimbangan kerana tidak menolak krisis kewangan pada tahun 1997 mungkin berulang kerana kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengawal pertukaran mata wang.

"Mungkin akan jual mata wang kita sekali lagi, seperti 1997.

"Sebab kita tidak ada penguasaan dalam pertukaran mata wang," terang beliau.

Minggu lalu, Bank Negara Malaysian (BNM) telah mengumumkan pertumbuhan KDNK pada 4.3 peratus, kadar yang dianggap perlahan menurut penganalisis ekonomi berbanding unjuran awal yang diramalkan pada 4.9 peratus.

BNM juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 ini kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus sebelum ini.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga gagal mencapai sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 4.8 peratus pada tahun 2012, sebaliknya mencapai defisit fiskal kepada 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) awal bulan ini mengadakan satu rumah terbuka bagi membincangkan mengenai TPPA dengan kumpulan perniagaan dan pihak berkaitan, bagaimanapun enggan mendedahkan butirannya atas alasan 'kerahsiaan'.

TPPA adalah inisiatif untuk membentuk satu kawasan perdagangan bebas (FTA) di kalangan 12 negara yang berjumlah 800 juta penduduk dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia menyertai TPPA sebagai anggota perunding penuh pada pusingan ke-3 yang diadakan di Brunei Darulssalam pada Oktober 2010 lalu, serta terbaru adalah di semasa pusingan ke-18 baru-baru ini di Kota Kinabalu.

Kontroversi TPPA mendapat perhatian banyak pihak antaranya kumpulan sivil, pertubuhan bukan kerajaan dan juga parti Pakatan Rakyat (PR), hingga menyaksikan Putrajaya terpaksa membentuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) melibatkan keanggotan dwi partisan bagi membolehkan pembangkang mendapat penjelasan berhubung perjanjian berkenaan.

PR turut membangkitkan persoalan terhadap beberapa isu dalam TPPA yang memungkinkan akan memberikan kesan negatif kepada Malaysia memandangkan perjanjian itu tidak boleh diumumkan kepada orang ramai.-

Jika apa yg dikatakan Tun M ni betul negara kita mungkin akan mengalami krisis seperti tahun 1997.


Kejatuhan nilai mata wang negara-negara yang sedang membangun yang berlaku baru-baru ini berikutan kemungkinan Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan program rangsangan ekonominya, mencetuskan semula memori krisis kewangan Asia 1997, tetapi penganalisis tidak menjangkakan malapetaka yang sama berulang. 


“Wujud hubung kait negatif (ketika ini) tetapi saya tidak terfikir bahawa krisis 1990an boleh berulang,” kata Ahli Jawatankuasa Pelaburan di firma pengurusan aset, Carmignac Gestion, Jean Medecin. 

Rupee India setakat ini mengalami kejatuhan paling teruk, susut hampir 15 peratus berbanding dolar AS dalam tempoh tiga bulan lalu. 

Rupiah Indonesia dan real Brazil mengalami penurunan 10 peratus, sementara lira Turki pula jatuh lebih lima peratus, iaitu arah aliran yang hampir sama seperti krisis kewangan yang bermula di Thailand pada pertengahan 1997. 

Ketika itu, pelabur panik dan bertindak balas dengan mengeluarkan wang secara besar-besaran, menyebabkan nilai mata wang Thai, iaitu Baht merudum dengan teruk. 

Fenomena itu kemudian merebak seperti kebakaran di seluruh Asia, malah ke Russia, yang menyaksikan dana asing hampir lenyap dalam sekelip mata. 

Kurang modal 
Berikutan itu, negara sedang berkembang pesat berdepan masalah kekurangan modal dan kredit, seterusnya menyebabkan berlakunya krisis kewangan yang teruk. 

Perdana Menteri India, Manmohan Singh minggu lalu berkata, negara-negara membangun kini lebih bersedia. Katanya, pada 1991, India mempunyai nilai rizab tukaran asing yang hanya mampu menampung sehingga 15 hari sahaja. 

“Sekarang kami mempunyai rizab antara enam hingga tujuh bulan. Jadi tidak ada perbandingan dan tidak adanya persoalan sama ada kita akan kembali kepada krisis 1991,” katanya. 

‘Pecahan gelembung tidak akan mencetuskan bencana’, itu adalah tajuk artikel yang ditulis pemenang hadiah Nobel Ekonomi, Paul Krugman dalam blog New York Times minggu ini. 

Artikel itu yang menyamakan kebanjiran dana asing ke negara sedang berkembang pesat seperti ‘gelembung buih’, meninjau kembali masalah yang berlaku dalam pasaran negara berkenaan. 

Krugman berkata: “Buat masa ini, saya tidak nampak sebab yang baik untuk mempercayai bahawa gelembung tertentu akan menjadi bencana”. 

Standard & Poor’s, iaitu agensi penarafan kredit turut bersetuju dengan pendapat yang diutarakan Krugman itu. 

Dalam artikel berkenaan, Krugman mentakrifkan pengaliran keluar dana asing dari pasaran sedang berkembang pesat yang berlaku pada masa ini lebih kepada ‘gangguan’ dan tidak menggambarkannya sebagai ‘perosak’. 

Tahap hutang tinggi 

Beliau berkata: “Kebanyakan negara sedang berkembang pesat di Asia akan berdepan ‘gangguan’ berkenaan tanpa menghadapi masalah kelembapan pertumbuhan ekonomi yang mendadak atau ketidaktentuan kewangan yang berpanjangan,”. 

Katanya: “Apa yang menjadikan krisis Asia 1997-98 begitu buruk adalah tahap hutang tinggi yang didenominasi mata wang asing, dan ia bukan satu isu besar ketika ini.” 

Penulis The Economist, Ryan Avent dalam blognya pula, menyatakan bahawa kebimbangan utama pada masa ini adalah jika berlakunya potensi kesilapan dasar oleh kerajaan dan bank pusat yang cuba membendung penurunan nilai mata wang mereka. 

“Pelaksanaan melulu langkah pengawalan modal boleh mencetuskan panik dan menjejaskan pertumbuhan jangka panjang,” katanya. 

Bank pusat India cuba menstabilkan nilai rupee dalam tempoh beberapa bulan lalu dengan melaksanakan beberapa langkah seperti menaikkan kadar faedah jangka pendek serta mengenakan kawalan modal. 

“Lebih buruk lagi, bank pusat boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi masing-masing dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi dalam usaha melindungi nilai mata wang mereka,” kata Avent. 

Justeru, katanya, penamatan langkah rangsangan ekonomi AS ‘mencetuskan risiko berlakunya penurunan permintaan mendadak di seluruh dunia’ apabila tujuannya hanyalah untuk menjana kembali ekonomi negara membangun. 

Agensi penarafan kredit, Fitch berkata bahawa ‘pengurusan dasar akan menjadi faktor utama dalam menentukan sama ada kestabilan ekonomi dan kewangan dapat dikekalkan di India dan Indonesia berikutan wujudnya tekanan ke atas mata wang dan harga aset’

No comments:

Post a Comment