Asal usul tulisan arab

Rasulullah s.a.w telah diutuskan kepada suatu umat yg terkenal dengan sifat 'Ummiyyah' yang bererti buta huruf serta tidak tahu kaedah kira mengira.

Di Semenanjung Tanah Arab hanya segelintir sahaja yang tahu membaca termasuklah beberapa belas orang dari kaum Quraisy dan beberapa orang di Madinah dan sekitar negara Arab yang terdiri daripada kaum Yahudi. Mereka ini tahu membaca dan menulis sebelum Baginda s.a.w dibangkitkan menjadi Rasul.

Antara mereka ini termasuklah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Utsman, Saidina Ali bin Abi Talib, Abu Sufyan bin Harb, Talhah b.Ubaidillah, Muawiyah b.Abu Sufyan, Aban b.Said dan al-'Ala' b. Muqri.Mereka ini adalah penduduk Mekah.

Manakala daripada penduduk Madinah pula termasuklah Umar b. Said, Ubai b Kaab, Zaid b Tsabit, al- Mandar bin Amru juga seorang Yahudi yang mengajar kanak-kanak menulis.

Kenapa bangsa Arab ketika itu digelar dengan gelaran 'Ummah Ummiyyah' kerana adalah disebabkan
kurangnya penyebaran ilmu penulisan di seluruh Semenanjung Tanah Arab. Apabila Islam muncul, Allah sendiri yg memberi gelaran itu kepada mereka berdasarkan Firman Allah swt yang bermaksud :

:" Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang ( Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah ( yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebesaran Nya) dan membersihkan mereka ( dari 'iktikad yang sesat) serta mengajarkan mereka kitab Allah ( Al-Quran) dan hikmat( pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak) Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu dalam kesesatan yang nyata”.

Timbul persoalan di sini, siapa yang menjadi guru, mengajar kaum Quraisy ini membaca dan menulis. Yang termasyhur di sisi Sejarawan adalah Harb bin Umaiyah bin Abd Syams ( bapa kepada sahabat yang bernama Abu Sufyan. Beliau banyak membuat pelayaran di luar negara untuk berdagang, maka semasa bermusafir la beliau belajar membaca dan menulis lalu apabila pulang ke tanah air, mengajar pula kepada penduduk Mekah (orang-orang Quraisy). Dari tangan beliaulah, tulisan khat arab mula-mula sekali dipelajari. Para Sejarawan berselisih pendapat siapa yang mula-mula mengajar Harb bin Umaiyah, ada yang mengatakan Abdullah bin Jud'an dan ada pula yang mengatakan Bisyr bin Abdul Malik.



Al-Imam ad-Dhani telah menyatakan dengan sanadnya yang berakhir kepada Ziyad bin An'am, katanya : " Aku telah berkata kepada Abdullah bin Abbas dan kaum Quraisy: “Adakah kamu masa zaman jahiliyyah pernah menulis dengan menggunakan huruf-huruf Arab ini, menggabung apa yang tergabung dan menceraikan apa yang tercerai, ejaan dengan alif, lam, mim, potong dan sambung seperti yang ditulis pada hari ini ?Jawab Ibnu Abbas,"Ya". Lalu aku bertanya lagi: "Siapakah yang mengajar kamu menulis? jawabnya: Harb bin Umaiyah. Tanyaku lagi, "siapakah yang telah mengajar Harb bin Umaiyah? Jawabnya: "Abdullah bin Jud'an". Aku bertanya lagi, "Siapa pula yang mengajar Abdullah? Jawabnya : Penduduk negeri Anbar. Tanyaku : " Siapa pula yang mengajar mereka itu? Jawabnya: " Seorang perantau yg datang dari negara Yaman." Tanyaku, "Siapa pula yang mengajar perantau itu? "Jawabnya: "al-Khaljan bin al-Muham". Beliau ini adalah penulis wahyu Nabi Hud a.s.

Riwayat yang kedua mengatakan yang menjdi guru kepada Harb adalah Bisyr bin Abd Malik. Kisahnya diriwayatkan oleh Al-Kalbi daripada Awwamah bahawa beliau berkata: " Orang yg mula-mula menulis khat ialah Maramir bin Murrah, Aslam bin Sidrah, Amir bin Judrah. Mereka ini ialah orang Arab Thait. Mereka mempelajarinya dari jurutulis wahyu Nabi Hud a.s kemudian diajar kepada penduduk Anbar. Daripada merekalah tersebar ilmu penulisan di Iraq, Hirah dan lain-lain. Lantas dipelajari Bisyr bin Abd Malik, saudara kepada Akidar bin Abd Malik (Raja Daumatul Jandal). Oleh kerana Harb bin Umaiyah selalu datang berdagang ke Iraq maka terjalinlah persahabatan antara Harb dan Bisyr.Daripada Bisyr. la Harb mempelajari ilmu penulisan dan mengajar pula kepada orang-orang Quraisy. Tidak lama kemudian Bisyr telah mengikut Harb pulang ke Mekah dan berkahwin dengan anak perempuan Harb yg bernama as-Sahba'. Sekumpulan orang-orang Arab mempelajari tulisan daripada beliau. Semenjak daripada itu, makin bertambahlah bilangan mereka yang pandai menulis dari kaum Quraisy sebelum kemunculan agama Islam.

No comments:

Post a Comment