GENTING Malaysia Bhd (Genting Malaysia) mengumumkan pelancaran Resort World Bimini di Bahamas, sebuah tambahan terbaru untuk jenama Resort World menerusi kerjasama bersama pemaju resort, RAV Bahamas Limited.
Pelancaran butik dan kasino terbaru di Bahamas itu merupakan langkah ke hadapan untuk Genting Malaysia sebagai salah satu perkembangan antarabangsa untuk ke Amerika.
Terletak kurang dari 50 batu nautika atau dua jam dari bandar Miami, resort mewah tepi pantai yang dibangunkan di atas tanah seluas 750 ekar terdiri daripada vila, penginapan, restoran, perkampungan nelayan dengan pelbagai pilihan tempat makan dan membeli belah serta marina terbesar di Bahamas.
Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, pulau Bimini mempunyai bandar bersejarah yang unik dan antara destinasi terbaik di dunia untuk aktiviti menyelam.
Syarikat juga baru-baru ini melancarkan jenama baru Bimini Super Fast, sebuah kapal pelayaran 32,000 tan yang akan berlayar pergi dan balik di antara Miami dan Bimini dua hari sekali.
“Dengan kelajuan sehingga 30 knots, kapal binaan Jerman ini adalah salah satu kapal pelayaran terpantas di Amerika. Idea kami adalah untuk beri pelanggan pelayaran dan perkhidmatan terbaik serta kemudahan di atas kapal terbaru ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment