Kenangan beraya di Felda

Mengimbau kenangan Ramadhan pertama di felda, terasa sayu.. Ketika saya sekeluarga mula masuk ke tanah rancangan ini segalanya serba kekurangan. Bayangkan kehidupan tanpa bekalan elektrik, paip air berkongsi untuk 4,5 rumah, tiada jalan raya apatah lagi bazar ramadhan.. 


Surau pertama didirikan menggunakan kayu yang ditebang dari hutan. Kalau tak silap saya ada 2 buah surau sahaja antara surau pertama yg didirikan oleh peneroka. Surau itu bertiangkan kayu hutan (kayu bulat), berlantai papan dan berdinding separuh. Jadi kalau sembahyang tarawikh tu memang boleh nampak persekitaran belukar ditepi surau. Moreh dibuat secara bawa satu keluarga sepinggan juadah. Surau ini diterangi lampu gasolin. Biasanya setiap waktu berbuka peneroka yang datang awal ke surau akan mengetuk "kentung" (kayu hutan yang lompong @ kosong didalamnya) sebagai tanda berbuka puasa. Bunyi "kentung" ini boleh didengari sejauh beberapa kilometer kerana suasana yg sunyi pada masa itu.

Kami berbuka puasa seadanya. Ais adalah satu kenikmatan yg tak dapat digambarkan pada masa itu. Apa tidaknya, ais batu dibawa oleh supplier dari pekan berhampiran lebih kurang 50km menggunakan motorsikal. Melalui jalan tanah merah sama seperti jalan dalam ladang sawit yang anda lihat sekarang. Berdebu pada musim panas dan berlumpur kalau musim hujan. Bayangkan betapa jauhnya ais diimport berbanding zaman sekarang. Bagi mengelakkan ais cepat cair, ais ini disalut dengan habuk kayu gergaji. Ais ini dinamakan ais bantal kerana saiznya lebih kurang 3’x1’. Peniaga akan memotong ais menggunakan gergaji mengikut kehendak pelanggan samada 20sen 30sen atau 40sen sepotong.Order kat tokey kedai runcit kena awal sbb takut x cukup..kdg2 pagi2 dh tempah.. berebut time tu.. Waktu itu ais tiub masih belum wujud.

Bersahur ditemani cahaya pelita adalah pengalaman yang masih segar dalam ingatan. Biasanya seorang peneroka bergelar ustaz bangun awal akan naik motor keliling felda dan jerit “sahur! Sahur!” Lauk bersahur selalunya ikan masin dan telur ayam. Jarang2 la dapat makan ikan kerana ikan sukar dibawa masuk pada masa itu. Yang ada di PNF (Perbadanan Niaga Felda atau sekarang dikenali Felda Trading @ D’Mart) itulah jadi lauk bersahur. Antaranya telur, ikan masin dan sardin.. 

Tiada mercun atau bunga api pada malam2 ramadhan. Yang ada hanyalah kanak2 sebaya saya bermain kejar2 di perkarangan surau sementara menunggu bapa siap solat tarawikh (dan moreh he he). Yang ada pun masa tu seorang yg berpangkat abang main bunga api yg dibuat menggunakan keluli penggosok periuk. Keluli itu diikat dengan tali panjang dan dibakar. Apabila menyala keluli ini diputar dan belaku percikkan api. Sesiapa yang dekat pasti berlubang baju kena percikan (jangan tiru aksi ini.. boleh menyebabkan kebakaran dan kecederaan). Klu ade yg advance pon main mercun plug motor tu..

Persediaan pakaian menghadapi raya semua dibeli di pekan sehari.Setiap hari Isnin peniaga-peniaga luar dtg masuk felda kami. Apa sahaja yg dibeli oleh ibubapa kami pakai penuh kesyukuran. Tanpa bantahan. Jenama bukanlah perkara yg penting. Bahkan ada yang pakai baju raya tahun lepas kerana tak mampu beli pakaian baru. Hari raya adalah hari yang paling gembira. Kanak-kanak pada waktu itu mampu berjalan kaki hampir keseluruhan felda mengutip duit raya. Sekarang budak darjah 1 pon naik motor. Bagi duit RM1 pon mengeluh.. dulu 20sen dh melompat gembira..

Zaman telah pun berubah. Kita yang hidup pada zaman milennium ini mungkin tidak melalui zaman gelita. Apapun bersyukurlah.. tanggungjawab memajukan generasi felda terletak ditangan kami juga.. Kerana contoh yang paling baik adalah melalui tauladan. Kami sentiasa fikirkan yang terbaik untuk masa depan anak cucu kami nnt.. Sekian kerana sudi meluangkan masa untuk membaca..



No comments:

Post a Comment