Menjelang Akhri Ramadhan ni pekata kita kongsi sikit kenangan Ramadhan..
Ramadan bulan ibadah dan setiap amal akan digandakan pahalanya. Tapi jika anda membesar di era 90-an, Ramadan juga sentiasa mengingatkan anda pada zaman kanak-kanak anda... di mana puasa anda sentiasa dimeriahkan lagi dengan perkara-perkara berikut:
Drama "RUMAH KEDAI"
Drama bersiri 30 episod "Rumah Kedai" merupakan sebuah drama bersiri yang disiarkan sejak tahun 1988 selama beberapa musim, berkisar di sekitar sebuah rumah kedai milik Pak Halim (lakonan Yusof Mohamad). Drama ini juga dilakonkan oleh Kartina Aziz sebagai Mak Lijah, Sukiro Sukirman sebagai Tapa dan Harun Salim Bacik sebagai Remy. Antara isu-isu yang diutarakan dalam setiap episod termasuklah moral, keagamaan, politik dan juga keluarga.
Jika anda masih kanak-kanak saat drama ini ditayangkan di TV3 suatu masa dahulu, tentu anda lebih fokus kepada botol-botol berisi gula-gula yang berada di kaunter kedai Pak Halim berbanding plot cerita.
Lagu "RAMADAN" nyanyian ORKES AL-WATHAN
"Ramadan bulan yang suci, rahmat berlimpah dari Ilahi, banyakkan amal di bulan ini, banyakkan amal di bulan ini..."
Pernah tak anda rasa jengkel dengar lagu ini di radio tatkala anda sedang bersahur di era 90-an? Sudahlah anda mengantuk dan perlu ke sekolah sejam kemudian, suara penyanyinya yang nyaring dan durasi lagu selama tujuh minit itu menerjah masuk ke dalam gegendang telinga anda.
MURTABAK
Murtabak memang hidangan nostalgia unik, kerana hingga kini ia masih menjadi pilihan utama bila berbuka puasa. Mungkin kerana suatu masa dahulu ketika anda masih kecil, murtabaklah makanan yang paling menggiurkan antara semua, dan bila anda dewasa, anda sudah anggap ia satu tradisi.
Jadi jika anda mahu kaya segera di hari raya, juallah murtabak!
Pesanan berbuka puasa dari RIBENA BERRY
Memang ada banyak iklan dan mesej selamat berbuka puasa dari pelbagai produk di televisyen, tapi "Selamat berbuka puasa dari Ribena Berry!" merupakan antara yang paling diingati, malah menjadi antara ayat nostalgia 90-an paling diingati selain "Siapa yang malu? Mereka dan keluarga mereka" dan "Sebenarnya Dragon Ball ada tujuh biji semuanya!"
Minyak Attar
Rumah anda, seperti rumah orang lain, tidak mempunyai sebarang bau. Tapi sebaik sahaja bulan puasa menjelma, seluruh rumah berbau minyak Attar pada jam 7.30 malam ke atas. Begitu juga dengan seisi masjid atau surau berdekatan rumah anda.
Tiba-tiba saja di atas meja ada pelbagai jenis minyak atar dengan nama-nama aneh seperti Malaikat Subuh, Marlboro, Cool Water, Sandal Rose atau Seribu Bunga.
Rancangan "MASAK MEMASAK BERSAMA BIRD'S CUSTARD"
"Kita bertemu lagi dalam rancangaaaan, Masak Memasak bersama Bird's Custard!" kata Chef Wan sambil mengepakkan tangannya seperti burung. Kemudian Chef Wan akan menghasilkan beberapa resipi yang memerlukan ramuan wajibnya, tepung kastad dari Bird's Custard.
Anda merayu agar ibu anda mengubah saluran televisyen kerana anda sudah mula terliur melihat masakan yang dibuat, tapi ibu anda sibuk menyalin resipi dengan buku nota di tangan.
Promosi Hari Raya SINGER
SenQ? Harvey Norman? Daiso? IKEA? Living Quarters? Tidak. Suatu masa dahulu semua barangan baru dibeli di Singer, "Menawan Keluarga Bahagiaaa..."
Mesin jahit? Singer. Set dapur? Singer. Set meja makan? Singer. Set ruang tamu? Singer. Tiada siapa di Malaysia di era 90-an yang tidak memiliki walau satu pun produk Singer. Jadi bila Singer adakan Jualan Promosi Hari Raya, berpusu-pusu orang datang membeli.
Promosi Hari Raya KAMDAR
Mungkin ada banyak kedai kain. Kini sudah ada Nagoya dan Jakel. Tapi suatu masa dahulu, kedai kain yang paling terkenal cuma dua. Gulati's, buat mereka yang berduit, dan KAMDAR, buat rakyat marhaen yang ingin tampil bergaya dengan kain Sembilu, kain Tragedi Oktober atau apa saja kain dengan nama-nama filem lakonan Awie dan Erra Fazira ketika itu.
Adakah anda bergaduh dengan adik-beradik anda kerana kain anda dinamakan sempena filem yang laris RM4 juta di pawagam sementara kainnya dinamakan sempena filem lakonan gitaris kumpulan Wings yang kurang laris berbanding vokalisnya? Jangan risau, semua orang pun sama. Jika tidak, tak mengapa. Kerana anak anda mungkin akan bertengkar tentang tudung Yuna dan tudung Najwa Latif pula di era ini.
Apa lagi yang mengingatkan anda tentang puasa di era 90-an?
No comments:
Post a Comment