Kenali MLM Original vs MLM Cetak Rompak (Skim Cepat Kaya Raya)

Salam.. 
Kat sini aku nak share ilmu yg aku copy dari facebook macam mana nak tahu MLM tu Original atau Cetak Rompak. Tak tahulah sama ada dah ada atau belum, mungkin ada tapi tajuk lain kot sebab tu tak jumpa. 

Dan adalah ditegaskan bahawa aku bukan nak kacau periuk nasik sape-sape, cuma nak share kan aje. Sila beri komen yang berhemah, cermat serta ber'IQ

Cara Membezakan MLM Sebenar vs Skim Cepat Kaya

Minggu lepas dapat call daripada sahabat saya dari Pulau Pinang. Beliau mintak pendapat saya tentang MLM yang beliau dan suaminya baru join. Sebabnya, beliau rasa tak sedap hati. Seperti ada yang tak kena katanya.

Hukum Bisnes MLM
Saya tak ‘layak’ untuk bagi pendapat tentang hukum. Jadi saya minta beliau rujuk padangan Ustaz Zaharuddin Abd Rahman diwww.zaharuddin.net. Banyak juga Ustaz Zaharuddin sentuh topik MLM. Dan saya memang baca semua tulisan beliau tentang MLM sebab model pertama bisnes yang saya buat ialah MLM. Dan saya tertarik dengan bisnes berkonsep MLM yang dijalankan dengan penuh beretika dan berakhlak.
Banyak juga buku saya baca tentang MLM baik yang ditulis penulis tempatan dan luar negara. Nanti saya akan senaraikan beberapa buku penting yang memberi gambaran sebenar dan adil tentang bisnes MLM.
Hasil dari ‘penyelidikan’ peribadi, saya dah nampak sisi gelap dan sisi cerah bisnes berkonsep MLM ni. Dan mungkin ini sedikit nasihat saya untuk sahabat yang baru nak explore bisnes MLM.Skim Cepat Kaya


Bertopengkan MLM?
Antara yang mengelirukan kita yang belum benar-benar kenal bisnes MLM ialah adakah ianya skim cepat kaya?
Sebabnya, hari ini ‘agensi cepat kaya’ tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Mereka ini bertopengkan pelbagai jenis pelaburan, perniagaan, istilah, dan termasuklah menjadikan MLM sebagai topeng skim mereka. Dan kalau ada yang janjikan pakej umrah dan yang nampak Islamic, maka orang kita mudah benar tertipu. Terus kita anggap ianya halal.
Inilah antara ‘tipu-daya’ yang didedahkan oleh Ustaz Zaharudin Mohamad (yang bertugas di Bank Negara) masa “Seminar Pengaruh Riba dalam Muamalat Moden” di Masjid Damansara Damai tahun lepas – 2008.

Dua Tips Penting Menilai MLM
Jadi selain dari merujuk hukum hakamnya di www.zaharuddin.net, mungkin ini tips yang boleh saya kongsikan pada sahabat untuk kenal pasti adakah MLM yang sahabat ceburi itu MLM ORIGINAL atau pun MLM CETAK ROMPAK – skim cepat kaya bertopengkan MLM.
Biasanya dua perkara ni antara ‘tips’ penting yang membezakan kedua-dua jenis MLM.

Penilaian #1: Produk dan Usaha Menggerakkan Produk
Produk adalah faktor penting dalam apa juga jenis bisnes. Kalau bisnes MLM tu tak pentingkan produk, dan produk dia memang orang tak akan beli kalau tak kerana menyertainya, awas! Kena berhati-hati. Kerana MLM ini menjadikan produk hanya sebagai alat atau topeng untuk menjadikan aktiviti mereka sah di sisi undang-undang.
Dan produknya, kalau dijual kepada public, memang tak laku. Sebab tak berkualiti, atau harganya terlalu tinggi berbanding kualitinya. Tak berbaloi beli…

Penilaian #2: Cara Menjana Pendapatan
Pendapatan bisnes MLM sepatutnya hanya diperolehi apabila menggerakkan (menjual) produk samada jualan persendirian atau berkumpulan. Tak ada apa-apa komisyen atas penajaan (cari downline). Kalau income dapat berdasarkan berapa kepala yang masuk dalam network kita, awas! MLM itu mungkin Skim Cepat Kaya yang bertopengkan MLM.
MLM yang 24 jam memikirkan “head-hunting”, saya cukup-cukup sangsi. Kekadang syarikat tu okay, tapi kumpulan-kumpulan pengedar ni yang jalankan secara Skim Cepat Kaya seperti “head-hunting”, “front-loading”.

Awasi Aktiviti Head-Hunting dan Front-loading
Head-hunting bermaksud kerjanya, dan pendapatnya benar-benar bergantung pada merekrut ahli. Tak ada ahli baru, maksudnya tak ada bisnes, tak ada lah pendapatan pada bulan tu.
Ahli lama yang dah rekrut macam mana? Ah… ahli lama dah tak penting sebab ahli lama tak lagi menyalurkan apa-apa keuntungan. Keuntungan hanya dapat sekali sahaja iaitu ketika ahli baru mula-mula membayar ‘yuran’ keahlian. Sebahagian yuran keahlian baru, akan ada portion untuk upline!
Front-loading pula bermaksud mensyaratkan ‘wajib’ beli barang secara pukal (banyak) untuk join. Dalam banyak kes, barang tu akhirnya tersadai di bawah katil dan tak terjual. Oh… memang malang.
Ramai juga kawan saya yang terkena. Beli stok sampai beribu-ribu untuk masuk MLM tapi akhirnya, bisnes tak jalan, dan lebih malang dia terpaksa bayar balik Personal Loan Bank Rakyat! Oh, dah jatuh ditimpa tangga. Bisnes tak jalan, hutang pulak tak terbayar. Lebih malang, dia dah letak jawatan sebagai penjawat awam kononnya nak buat bisnes MLM full-time!

Usahawan MLM Yang Mukmin
Secara ringkasnya, saya nasihatkan sahabat semua selidiki dan fahami betul-betul setiap apa bisnes atau skim yang nak disertai. Berhati-hati dengan janji kaya, semuanya mudah, tak payah itu, dan tak payah ini. Kalau betul-betul nak kaya, kita mesti lalui susah payahnya walau apa pun jalan sekalipun. Itulah sunnatullahnya. Setiap keuntungan besar, pastinya mesti dibayar dengan pengorbanan yang besar. Tak ada jalan senang untung senang…
Kalau berniaga MLM, berniagalah dengan hati yang tulus ikhlas, penuh beretika, dan berakhlak sebagai seorang muslim lagi mukmin. Bisnes kecil pun tak apa asalkan ianya berkat. Bila berkat, yang sikit pun terasa banyak. Yang ciput pun jadi cukup, insyaAllah.
Dan jangan lupa, rezeki yang kecil tu lama-kelamaan akan jadi besar kalau kita buatnya dengan betul dan sabar (istiqamah)… InsyaAllah.
Wallahu a’lam.

ZulkifliDamansara Damai6 September 2009
(Artikel ini ditulis semula merujuk kepada artikel asal bertarikh 16 Oktober 2008)

Nasihat Dari Dua Jutawan
Nasihat Azizi Ali, setiap kita mesti ada second income. Walaupun mungkin gaji kita dah ‘cukup’, second income penting untuk mengukuhkan dana persaraan.
Pesan Chef Li (Dato’ Dr. Rusly Abdullah, penulis buku best seller “Jutawan Senyap”) masa saya berkursus dengan beliau katanya “berniagalah apa pun (yang halal), asalkan berniaga”. Dalam perniagaan, kita akan dapat lebih daripada duit.

Buku Rujukan MLM Sebenar
Di bawah ni adalah senarai buku yang mungkin baik untuk orang baru nak faham potensi sebenar dan ‘sepak terajang’ bisnes MLM:

The Business School: For People Who Likes Helping People – Robert T.Kiyosaki (USA)How Not to Get Ripped-off in Network Marketing – Dr. Wong Siew Fang (Malaysia)Jutawan MLM – Razi Armansur (Malaysia)The Parable of Pipeline – Burk Hedges (USA)Copycat Marketing 101 – Burk Hedges (USA)Pro-sumer Power – Bill Quain (USA)

No comments:

Post a Comment